Thursday, June 30, 2011

Memandu di India

Sebelum aku cerita panjang...korang tengok dulu klip kat bawah nie...


Ramai kawan-kawan Malaysia yang datang ke sini bila jumpa aku diorang tanya..."Ko drive ker kat sini ?". "Bolehlah sikit-sikit...just dari rumah ke area yang aku yakin jer kalau nak drive...".

Hanya mereka yang berhati cekal...hati kering...tahan dengan maki...tahan dengan bunyi horn...tahan segala-galanya dari segi saikologi...boleh drive di India nie. Siap orang sini kata..."Sapa2 boleh drive di India nie die boleh drive di mana-mana !!!". Aku cakap, rentikanlah statement tu...Aku tak rasa langsung kalau orang India di sini boleh drive di mana-mana selagi diorang tak tau etika memandu dan mematuhi perturan janlan raya yang sebenar.

Permasalahan utama yang nampak di sini...aku sendiri sampai hari ini tak tahu sistem apa...kaedah apa yang membolehkan lesen memandu itu di berikan pada orang di sini. Ada yang tak tahu membaca pun boleh memandu. Ada yang buta warna pun boleh memandu.

Then, penguatkuasaan undang-undang. Ini lagi satu pelik. Bergantung pada negeri mana kita pergi..pemakaian topi keledar untuk yang naik motorsikal sebenanrya kadang-kadang tak yah pakai pun ok. Ada negeri hanya memestikan yang menunggang kena pakai, yang membonceng tak payah. Ada tu...kena pakai tapi polis buat tak tahu jer kalau ada yang tak pakai.

Paling best...korang akan rasa...kadar kemalangan jalan raya di India nie...amatlah jarang kalau nak jumpa eksiden dijalan raya. Serius...aku tak tipu. Walaupun cara diorang ni agak nasty...sebenarnya bila diorang bawak tak laju mana pun. Cuma kalau yang first time sampai ke India nie bersedialah untuk rasa pening-pening lalat bila duduk dalam kereta tu.

Wednesday, June 29, 2011

Namaste !!!

Namaste !!!

Itu ungkapan yang sering kali digunakan oleh masyarakat yang bertutur dalam bahasa hindi mahupun urdu. Tak lebih yang membawa maksud "Hai !!!" atau ungkapan ini juga boleh disamakan dengan ucapan "Salam Sejahtera". Adakalanya, kalau audien kita tu ramai...kita ucapkan "Namaskar !!!". Selalunya juga, ungkapan Namaste juga akan dituruti dengan pergerakkan tangan kedua-dua telapak tangan dirapatkan dan diletakkan pada paras dada. Macam gambar kat bawah nie...


Cumanya...ada orang yang mengatakan bahawa tindakan dan perlakuan macam macam nie seakan-akan meniru cara orang hindu sembahayang. Aku tak nafikan perlakuan merapatkan telapak tangan tangan dan diletakkan pada paras dada ini juga memiliki cabang budaya penganut hindu. Malahan ada simbolnya tersendiri seperti gambar di bawah...


Bagi orang yang tiba-tiba mengetahui hal ini mesti sudah ragu-ragu untuk meneruskan amalan "Namaste !!!" dengan pergerakan tangan ini. Apakah gerakkan tangan dengan ucapan "Namaste !!!" ini boleh disamakan dengan syirik.

Pada mulanya aku juga agak ragu-ragu untuk memberikan ucapan "Namaste !!!" sambil gerakkan tangan ini. Tetapi, setelah lama tinggal di sini...dan kita memahami gelagat dan budaya masyarakat di sini kita akan faham akan keperluan menghormati adat dan adab bila berkomunikasi dengan masyarakat di sini.

Sebenarnya, sepanjang aku di sini...pergerakkan "Namaste !!!" dengan tangan ini banyak menyelamatkan aku...Gerakkan hindu menyelamatkan diri ??? Sabar kawan...kena faham dahulu...

Pertamanya, dengan pergerakkan tangan "Namaste" ini aku tak perlu bersalaman dengan kaum wanita. Bila tak bersentuhan dengan mahram...wudhu' aku terjaga...dosa pun tak dapat...Inilah point utama yang menjadi pegangan aku.

Kedua, bila kita memahami adab masyarakat setempat di sini...mereka akan beranggapan kita telah mengangkat rasa hormat sesama sendiri. Kata kunci yang aku guna "ADAB". Bukan adat dan budaya. Banyak bezanya "ADAB" dengan "ADAT dan BUDAYA". Bila kita memperkatakan tentang adab ianya lebih berlandaskan kepada akhlak. Tetapi, kalau adat dan budaya belum tentunya akan melibatkan akhlak yang boleh dijadikan asas untuk kita tiru.

Merujuk pada maksud ungkapan "Namaste" itu sendiri hanya membawa maksud "Hai !!!" atau "Salam Sejahtera". Tak lebih daripada semata-mata membawa maksud ungkapan dalam sapaan kepada kenalan yang kita jumpa.

Pengalaman aku di sini, aku perhatikan ada tiga keadaan biasanya "gerakan namaste" dilakukan.

SATU, bila berjumpa dan menyapa orang...

DUA, bila mendoakan orang lain...Kalau pagi-pagi biasanya, selalu sangat aku nampak ada kalangan orang-orang hindu di sini akan menyapa rakan dan kenalan mereka dengan ucapan"Ram...Ram ji !!!". Bila dah sebut perkataan "Ram" tu sahihlah kita tak boleh ikut. Ram adalah merupakan tuhan hindu yang agung. Dengan ucapan sapaan begini, si pegucap sebenarnya mendoakan agar tuhan "Ram" akan sentiasa bersama yang menerima ucapan. Yang ini aku tak pernah ikutlah...

TIGA, bila penganut hindu bermeditasi atau berdoa atau dalam upacara ritual sembahyang mereka samada di kuil mahupun di rumah atau di tempat yang dianggap keramat pada pandangan mereka. Ini juga tak bolehlah diikuti. Syirik...

Ada bangsa melakukan gerakan berpelukan sebagai tanda mesra...ada bersentuhan pipi...ada yang sekadar mengangkat tangan...ada yang bersentuhan hidung...ada juga yang aku ketahui meludah kepada kawan pun dianggap mesra (di afrika tak silap aku...). Dulu-dulu, Menteri Pelancongan kita pernah perkenalkan salam hormat cara Malaysia dengan meletakkan telapak tangan kanan di dada sebelah kanan.

Pada aku, pergerakkan ini masih boleh amalkan selagi niat kita adalah semata-mata untuk menunjukkan adab dan akhlak menghormati orang lain. Lain bangsa, lain cara mereka. Kita juga sudah diajar...masuk kandang rimau mengaum...masuk kandang kambing mengembek...Peribahasa ini, bukanlah bermaksud kita perlu meniru dan mengikut adat dan budaya sesebuah komuniti bila berada ditempat orang. Tetapi, aku yakin...maksud sebenarnya adalah kalau kita hendak berasa diri kita selesa dan membiasakan diri di tempat orang...kita perlu tahu apa adab-adab yang boleh menjadikan diri kita diterima masyarakat sekeliling. Selagi tidak berlawanan dengan syara'...

p.s: macamana pulak dengan gerakkan menyentuh kaki orang yang dihormati sepertimana yang selalu kita lihat dalam masyarakat India ? ada masa nanti aku ulas tentang itu pula yer...

Tuesday, June 28, 2011

Makam Jesus Christ di India ?

Peringatan: Tulisan ini berlandaskan pemahaman penulis berdasarkan sumber masyarakat tempatan di India. Ianya sama sekali tidak bermaksud untuk dijadikan bahan sandaran sebagai bukti yang nyata.

-----------------------------------------------------------------------------------

Kalau dirujuk pada tajuk blogging kali ini...sengaja aku letakkan tanda soal/"?" pada akhir ayat tajuk. Jadi, artikel kali ini lebih kepada persoalan pada cerita yang mungkin ada kalangan kita yang sudah maklum.

Kalau aku tak letak tanda tanya...ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dan kontroversi kepada pengikut Kristian (termasuk juga pengikut ajaran Buddha). Kerana ayat pada tajuk blogging aku akan menjadi satu kenyataan bertulis. Aku cuma mahu berkongsi dan kita sama-sama fikirkan beberapa perkara dalam hal ini. Semuanya bermula bila aku merancang ingin bercuti ke tanah Kashmir.

Aku tak tahu apa yang akan terlintas dalam fikiran korang bila ada orang yang mengatakan bahawa "Jesus Christ" (a.k.a Nabi Allah Isa a'laihissalam) telah menginggal dunia dan jasab baginda dikebumikan di negara India. Pertama kali aku dapat tahu perkara ini, aku tersenyum...nak gelak kang kena marah plak. BUT, si pemberi tahu (orang India nie...) dengan serius menceritakan kepada ku tentang hal ini. Macam betul-betul benar bahawa kubur pemakaman baginda Jesus berada di India. Aku tahu, kalau ada kalangan yang pertama kali mengetahui perkara ini mesti korang gelak sakan nye...

Base on cerita yang aku dapat, aku mula google dan hanya sekadar ingin menambahkan pengetahuan tak lebih dari itu. Kerana, sebagai ummat Islam- kita seharusnya tahu bahawa nabi Isa a'laihissalam (Jesus PBOH) tidak mati disalib dan baginda dengan izin Allah akan dibangkit dipenghujung akhir zaman. Semua ini sepertimana merujuk pada firman Allah dalam surah an-Nissa' ayat 157 hingga 159..."Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin [157] Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana [158] Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka [159]".

Banyak perkara menarik yang aku peroleh dari pemerhatian aku tentang topik ini. Antaranya...

Sehingga ke hari ini, terdapat golongan ahli sejarahwan yang cuba mencari jawapan pada persoalan apa yang berlaku atau sejarah Jesus pada umur baginda dari 13 sehingga 30 tahun. Kalau dirujuk pada gospel-gospel mahupun New Testement dalam "Holy Bible", catatan kelahiran Jesus ada di dapati...ajaran dan sebaran dakwah Jesus ada dicatatkan...Tetapi, persoalan besar...dari mana dan bila masanya nabi Allah ini mula menerima risalah dari Allah untuk disampaikan ke Bani Israel ? Persoalan itu timbul dan banyak boleh korang dapati pada tajuk "the Missing Years of Jesus" (cubalah google). Nah, ini part yang menarik...terdapat kepercayaan dikalangan masyarakat di India sehingga hari ini bahawa...selepas kaum Bani Israel mencerca kelahiran anak Mariam (Virgin Mary PBOH)...dan akibat tidak tahan dengan tindakan Bani Israel terhadap Jesus- Joseph telah membawa lari Jesus pada usianya 12 atau 13 tahun ke India !!! Jesus dikatakan telah "disekolahkan" di sebuah istitusi pengajian tinggi kuno yang ulung di India yang terletak di Nalanda (suatu daerah di negeri Bihar). Teori ini dipegang kuat oleh seorang pengikut ajaran agama Jain yang juga seorang ahli falsafah dalam bidang sejarah, Dr. Acharya Yogesh.

Adalah dipercayai, seseorang pelajar yang diterima untuk menuntut ilmu di Nalanda memerlukan tempoh pembelajaran sehingga 15 tahun bagi memastikan ilmu yang diperoleh benar-benar dikuasai. Ada rekod ker ? Jawapan mereka tiada !!! Sebab kebanyakkan menuskrip dan rekod-rekod pengajian di Nalanda telah dibakar oleh tentera Bakhtiar Khiji dari Kerajaan Turki pada 1193. Dikatakan upacara pembakaran manuskrip, buku, kitab, rekod ini berlaku sehingga memakan masa berbulan-bulan lamanya. Ini membawa maksud bahawa, Nalanda adalah pusat ilmu yang unggul dan terrrrrlalu banyak sumber literasi ilmiah yang telah dihasilkan oleh institusi ini.

Setelah tamat pengajian, Jesus dikatakan kembali ke Palestin untuk berdakwah kepada Bani Israel pada usianya 30 tahun.

Aku tak nak cerita tentang sejarah hidup nabi Allah Isa a.k.a Jesus PBOH. Aku rasa korang boleh selidik sendiri...Aku cuma nak fokus pada topik kita...

Dikatakan (menurut teori masyarakat di sini) selepas peristiwa peng"salib"an berlaku, Jesus telah membawa dirinya merantau jauh sehingga baginda dikatakan melalui laluan sutra dan berhenti disuatu kawasan tanah tinggi Kashmir.

Peta dibawah menunjukkan perjalanan Jesus, dari tanah Israel yang membawa baginda ke Kashmir.


Gambar di bawah adalah Roza Bal, terletak di kawasan yang dinama Khanyar- bangunan yang dikatakan menempatkan makam Jesus dan juga seorang ahli sufi yang dikuburkan bersebelahan dengan Jesus.


Masyarakat Kashmir mengenali Jesus dengan nama "Youza" atau "Isa". Perkataan "Hazrati" dikatakan merujuk pada "Nazareth" tempat asal Jesus. Sebagai nota tambahan, penduduk di Kashmir sebenarnya bukanlah penduduk yang bertutur dalam bahasa Hindi mahupun Urdu. Tetapi, mereka menggunakan bahasa yang seakan-akan parsi. Tetapi, tak juga mereka mengaku gunakan bahasa parsi. Mereka kata, macam parsi tapi bukan. Jangan terkejut kalau aku katakan- ada kalangan penduduk di Kashmir mati-mati mengaku mengatakan bahawa mereka adalah waris dari kaum Bani Israel. Malahan mereka juga mengatakan bahawa, puak Bani Israel di Kashmir ini juga merupakan salah satu puak yang dikatakan the "Lost Tribe" of Israel. Kalau korang teliti raut wajah masyarakat Kashmir...memang boleh dibezakan antara India Hindi dengan India Kasmir. Mereka (masyarakat Kashmir) adalah waris suku kaum aryan kuno.

"Hanya dengan teori dan kubur yang belum tentu boleh disahkan siapa disemadikan mereka kata Jesus (nabi Allah Isa a'laihissalam) berhijrah ke India selepas peristiwa peng"salib"an ?!!!"

Untuk pengetahuan, dikatakan juga...terdapat rekod-rekod mencatatkan ketibaan nabi utusan Allah ini ke bumi India. Catatan paling femes adalah dari Nicolas Notovich askar Rusia yang tiba di Tibet dan India telah berjaya mentafsirkan sebahagian naskah tulisan sami-sami Buddha di Hemis, Ladakh. Antara catatan beliau yang menjadi kontroversi besar dalam agama Kristian (1887), terdapat kuil Buddha yang mengamalkan ajar yang dikenali sebagai "Life of Saint Issa, Best of the Sons of Men". Ditambah lagi dengan penemuan menuskrip Hindu pada kitab Bhavishya Maha Purana dalam bab Pratisargaarvan (19.17-32):

"One day, Shalivahana, the chief of the Shakas, came to a snowy mountain (assumed to be in the Indian Himalayas). There, in the Land of the Hun (Ladakh, a part of the Kushan empire), the powerful king saw a handsome man sitting on a mountain, who seemed to promise auspiciousness. His skin was like copper and he wore white garments. The king asked the holy man who he was. The other replied: 'I am called Isaputra (son of God), born of a virgin, minister of the non-believers, relentlessly in search of the truth.'
O king, lend your ear to the religion that I brought unto the non-believers ... Through justice, truth, meditation, and unity of spirit, man will find his way to Isa (God, in Sanskrit) who dwells in the centre of Light, who remains as constant as the sun, and who dissolves all transient things forever. The blissful image of Isa, the giver of happiness, was revealed in the heart; and I was called Isa-Masih (Jesus the Messiah)"

Dari satu sudut, puak Kristian kata cerita ini pastinya karut. Kubur itu entah sapa-sapa tah yang orang Kashmir tu semadikan. TETAPI, orang India di sini mengatakan mereka punya rekod kewujudan Jesus secara hakiki di bumi India. Tak cukup dengan itu, dikatakan juga- catatan ketibaan dan kehadiran Jesus di bumi India sebenarnya wujud dan masih terpelihara pada simpanan Kerajaan China dan kuil-kuil di Tibet dan Nepal. Bahkan, ada catatan sarjana kuno China mencatatkan betul Jesus pernah belajar di Nalanda suatu ketika dahulu.

Soklan tambahan, kenapa Kerajaan China tidak mahu dedahkan manuskrip yang mereka jumpa di istana "the Forbidden Kindom" semasa kerja-kerja ubah pemulihan istana tu untuk sukan Olimpik dulu ?. Agak-agak korang apa kandungan manuskrip tu kan...?

Aku pasti, bagi yang pertama kali membaca dan mengetahui tentang cerita ini akan menjadi teruja untuk mencari kesahihan perkara ini. Pada aku, sebagai Muslim- kita jelas, bahawa nabi Allah Isa tidak mati disalib dan akan dibangkitkan dengan izinNya diakhir zaman nanti.

Persoalan samada benar baginda Jesus benar-benar tiba berhijrah ke India (Kashmir), seharusnya kita serahkan kepada penganut Kristian. Kerana, ini boleh membawa kepada implikasi kesahihan dan ketulenan the "Holy Bible" yang mereka pegang. Itu masalah mereka yang tidak mahu berpegang pada ajaran Muhammad Rasullulah.

Al Quran juga tidak menceritakan secara terperinci tentang sejarah nabi Allah Isa. Pada aku, itu hak Allah subhanahuwata'ala. Sebagai hambaNya, kita jangan jadikan ia sebagai suatu yang boleh dipersoalkan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang direncanakanNya.

Wallahua'lam...


Monday, June 27, 2011

Keindahan pada Keamanan dan Kesejahteraan

Kalau tengok pada tajuk cam nak bersajak...bukan. Cuaca dua tiga hari ini cukup cantik. Matahari keluar dipagi hari. Hujan dipetangnya. Bahang panas semakin reda menjelang bulan Ramadhan. Syukur...cuma bila aku tengok berita-berita di Malaysia yang dok sibuk dengan perihal nak berhimpun menuntut hak itu dan ini. Biar apa pun tujuannya...aku tak menyokong seandainya dilakukan sehingga menggangu dan menjejaskan "keamanan" dan "kesejahteraan" awam. Rasullullah juga pernah bersabda, mengganggu perjalanan orang atau kalau kita duduk berkumpul sehingga menghalang/menggangu orang lain untuk menggunakan jalan juga sudah dianggap suatu perlakuan yang boleh membawa dosa.

Aku cuma berharap pihak Polis dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik tanpa berkompromi untuk menjaga kestabilan harmoni negara.

Aku tak berminat dengan cerita perhimpunan tu...cuma aku nak cerita pasal Polis di India nie...


Kat atas tu Polis trafik yang boleh kita jumpa di negara kita...Bandingkan plak dengan Polis di sini...


Agak-agak korang siapa yang lebih hensem ?


Kat atas tu plak kira FRU India...Kita nyer FRU...


Kalau bab gerun tang FRU nie mestilah yang India (pada mata pandangan akulah...) Sebabnya, muka cantik manis nak belasah perusuh jalanan cam FRU kita nie tak efektif pada aku. Korang tengok India nyer FRU, perhatikan betul-betul siapa mereka pada wajah-wajah garang tu...rata-rata yang menjadi FRU di India nie (even dikalangan tentera juga) terdiri dari orang India dari kawasan Utara Timur India. Sebab, kalau ada rusuhan, perhimpunan haram yang besar...FRU India nielah yang kan membelasah mereka-mereka nie tanpa belas nyer...Sungguh aku kata. Kalau korang nak tau, kebanyakkan rusuhan yang berlaku nie...adalah terdiri dari kalangan golongan kulit aryan...muka-muka cam movie hindustan. Kalau tak pun, FRU tu akan berasal dari selatan...yang dah memang ada sentimen perkauman dari dulu lagi dengan golongan kulit aryan nie. Memang kalau dapat peluang mereka akan kasi hantam sama orang yang buat kacau.

Balik pada baju/uniform polis kita plak. Uih...polis kita lebih hensem lagi dari diorang nie...Kadang-kadang kalau orang yang first time datang India nie kompius samada yang dihadapan mereka nie polis ke atau jaga. kadang-kadang di sini yang menjadi pelik aku, uniform Pengawal Keselamatan lebih dress up dari polis. Kena plak ada polis sini yang pakai belantan rotan jer...lagi lah sedih. Nanti aku sambung lagi cerita polis sini.

Kenapa aku nak cerita ? Supaya kita sedar...dan mampu mengambil iktibar mana yang baik berdasarkan pengalaman aku di sini...

Tuesday, June 21, 2011

Kamasutra

Yeah...!!! Seperti yang pernah aku baeritahu sebelum ini...blogging kali ini pastinya berjaya menarik mata anda untuk membaca.
"KAMASUTRA", tapi, penulisan aku kali ini juga pastinya membosankan dan tidak menarik perhatian pada yang menganggap bahawa "kamasutra" adalah cerita lucah atau porno yang mampu menaikkan ghairah korang. Maaflah, aku tak berminat nak menulis cerita-cerita seks untuk menaikkan naluri keghairahan terhadap seks. Lebih elok kalau kita bercerita tentang apa yang boleh dijadikan perkongsian ilmu demi kebaikkan bersama.

Umum mengetahui bahawa kamasutra adalah sebahagian darpada literasi yang diambil dari penulisan kuno sanskrit oleh seorang sasterawan atau ahli falsafah yang bernama Vātsyāyana. Kamasutra adalah gabungan dua kata nama, iaitu: "kama" dan "sutra". Kama bermaksud (pada pemahaman pembacaan aku) nikmat atau keseronokkan dalam menjalinkan hubungan. Asalnya sutra ini bermaksud "benang" jer...tetapi dalam konteks kamasutra...ia dikiaskan sebagai, "simpulan/gumpalan antara benang". Korang boleh bayangkanlah dua benang yang dirapatkan dan dipintal. Ini keindahan bahasa sanskrit yang cuba ditonjolkan dalam karya yang dipercayai ditulis sekitar kurun ke 4 masihi dizaman era pemerintahan Gupta.
Merujuk pada makna "kamasutra" itu sendiri sebenarnya tidak ada sangkut paut pun dengan seksologi. Cuma sudah jadi lumrah dan tabiat manusia (termasuk aku juga sebelum mengenali apa die sebenarnya kamasutra) kita lebih senang dan gemar tertarik dengan gambar-gambar dalam isi kandungan sesebuah buku. Kadang-kadang muka kulit hadapan buku juga sudah menayangkan betapa sensasinya kamasutra itu sendiri. Tetapi, jarang sangat orang ingin mengetahui apa sebenarnya objektif utama atau isi pokok yang cuba disampaikan dalam karya kamasutra ini. Apa yang aku faham dari pembacaan aku juga, perkataan kamasutra sebenarya adalah kata umum yang membawa maksud...keseronakkan dalam menjalinkan "hubungan". Hubungan yang dimaksudkan dalam perkataan ini merujuk pada persediaan sebelum menjalinkan hubungan, semasa menjalinkan hubungan (tidak semestinya hubungan seks jer...) dan selepas menjalinkan hubungan (yang nie memang khusus selepas menjalankan aktiviti seks).

Ramai dan terlalu ramai juga yang tidak mengetahui bahawa, maksud keseronokan dalam berhubungan yang dimaksudkan dalam perkataan "kamasutra" itu juga sebenarnya merujuk pada: hubungan yang SAH..samada disisi agama atau undang-undang. Dalam erti kata lain, hubungan sesama suami isteri. Atau dalam istilah makna yang ingin disampaikan melalui kamasutra adalah, membina keseronokkan dalam hubungan rumah tangga. Ini sememangnya ditekankan dalam bab awal kamasutra (kalau korang ada yang terjemahan penuhlah...bukan yang terus ada gambar-gambar tu...). Bab awal di kamasutra menekankan pentingnya mencapai erti kebahagian dalam hidup. Ini ada kaitan dengan ajaran hindu juga. Cuma apa yang aku boleh simpulkan tanpa mengambil kira elemen hindu dalam kamasutra ini...bab awal kamasutra menekankan bahawa pentingnya menjaga kehormatan dalam menjalinkan hubungan demi memelihara maruah dan paling penting warisan keturunan yang bakal terhasil dari hubungan kelamin antara seseorang lelaki dan wanita tersebut.

Kalau kita membaca buku Kamasutra (tebal sebenarnya), ia dibahagiakan kepada 7 bahagian utama...dalam 7 bahagian utama dipecahkan kepada 36 tajuk kecil...yang bab adegan macam mana seronok dalam menjalankan aktiviti seks tu cuma 10 dari 36. 1/3 jer cerita pasal adegan seks...Selebihnya apa ?

Terlalu banyak sebenarnya kalau aku nak tulis...tapi secara kasar aku boleh kongsikan:

Bahagian 01: biasalah pendahuluan...tapi elok diperhalusi maksud tersirat dalam pendahuluann ini...banyak kata-kata nasihat dan amanat yang berguna.

Bahagian 02: Uiiihhh !!! bab yang ini paliiing ramai suka...bab menceritakan disiplin dan etika bersenggama. Korang leh google sendiri. Banyak gambar-gambar leh check di net.

Bahagian 03: Bahagian nie sangat sesuai untuk bakal pengantin. Ia banyak memberikan tunjuk ajar bagaimana institusi keluarga itu patut dibentuk sebelum hubungan perkahwinan dibina.

Bahagian 04: Ini bab khusus untuk mereka yang berpoligami...bagaimana nak menjaga kehebatan dalam melayan isteri yang lebig dari seorang.

Bahagian 05: bab ini mengajar kita bagaimana untuk mengenal tabiat dan gelagat wanita melalui pandangan seorang lelaki.

Bahagian 06: bab ini buat aku pening sikit...sebab dia ada buat aku kompius...sebab die juga mengajar kita macam mana nak mengenal perempuan lain yang selamat untuk dikerjakan. Dalam erti kata lain bagaimana untuk mengenali pelacur yang selamat untuk dilanggani. Anyway, aku tak amik serius tentang part tu...cuma bab ini yang paling utama untuk kita ketahui adalah bagaimana memilih pasangan yang baik. Samada dari segi sahsiahnya, kesesuainya dan mana yang elok untuk dijadikan isteri mengikut kriteria kita.

Bahagian 07: Bab ini tak perlulah difokuskan sangat sebab ianya melibatkan amalan-amalan yang pada pendapat aku banyak yang khurafat.

Kalau nak dicerita tentang "kamasutra" nie...tak cukup sebenarnya dengan satu blogging...nantilah kalau aku rajin aku sambung lagi yer...

Kalau singgah di India, korang tak perlu ada rasa segan dan malu untuk membeli buku kamasutra nie...Si tukang jual tu pun tak derlah nak pandang serong dengan korang. Orang di India nie memang dari dulu lagi tahu bahawa mana-mana buku kamasutra yang mereka jual bukan buku porno. Takderpun label 18sx...Sebab ianya dianggap ilmiah pada pendapat mereka. Malahan dengan bangganya si tukang jual akan cadangkan buku mana yang sesuai untuk jadi sumber bacaan kita. Jangan malu untuk bertanya juga pada mereka jenis buku yang macam mana korang nak beli. Sebab, di India nie banyak versi kamasutra yang boleh korang dapati.

Nasihat aku...biarlah niat kita tu dibetulkan dahulu sebelum bercadang untuk memilikinya...kalau ingin menambahkan ilmu dan belajar demi kebaikkan okeylah tu...kalau sekadar mencari bahan untuk menaikkan nafsu ghairah seks korang...dosa tanggung sendiri yer...

Aku cuma menyampaikan dan membetulkan tanggapan yang membaca tentang istilah "kamasutra" dalam masyarakat.


Monday, June 20, 2011

MeLABUR atau MeLEBUR di India

Ramai kengkawan aku bertanya pada aku...apa peluang perniagaan yang boleh kita buat di India nie ? atau soklan paling simple "apa business yang boleh untung kalau nak buat di India nie ?"

Umumnya dunia memang tahu bahawa ekonomi di India sedang dengan rancaknya berkembang. Malahan, adalah diramalkan bahawa negara yang sedang aku duduki ini akan menjadi negara SUPER POWER dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang. Bukan sahaja dari segi ekonomi, malahan dari segi ketenteraan juga India memang sedang giat meningkatkan kekuatannya. Kita tak mahu cerita tentang ketenteraan...cukuplah pasal ekonomi.

Dengan kekuatan pasaran domestik yang berpopulasi 1.2 billion orang (ada yang kata mungkin sudah mencapai 1.6 billion)...negara ini sememangnya menjanjikan pasaran pengguna yang cukup besar seperti mana dalam tulisan aku yang terdahulu. TETAPI, ramai juga yang kurang mengetahui bahawa...ramai pelabur-pelabur yang pernah mengalami mimpi ngeri di sini. Wang pelaburan lesap begitu sahaja sebelum perniagaan dijalankan. Perjanjian yang dimeterai dengan pihak peniaga di India kadang-kadang tidak memberikan jaminan bahawa pulangan yang bakal di peroleh adalah seperti yang diharapkan.

Tapi, takderlah aku kata semua yang datang melabur di sini tak berjaya...ada yang berjaya...Ramai juga orang Malaysia yang menjalankan perniagaan di sini berjaya maju dan berkembang dengan baik.

Masalah utama dan cabaran paling besar kalau nak menjalankan perniagaan di sini (mengikut pengamatan akulah...dan bergantung jenis pernigaan yang kita nak buat) adalah....suasana politik di India nie senantiasa tak stabil. Boleh berubah macam cuaca. Ketidak stabilan politik di sini boleh membuatkan kekadang pelabur pening dengan sistem perundangan di kawasan yang mereka nak niaga. Paling rumit kalau negeri yang ditadbir itu bukan dibawah pengaruh pemerintah perseketuan (federal)...pembangkanglah dalam hal nie. Lain negeri...lain plak undang-undangnyer...Ketidak seragaman undang-undang boleh menyebabkan kekadang kita bertindih dan mendidihkan perasaan. Terutamanya bab cukai yang terlibat dalam pernigaan. Aku sendiri pun sampai hari ini tak berapa faham dengan sistem percukaian yang dikenakan pada pernigaan. Macam-macam !!!

Aku rasalah...paling penting kalau nak berniaga di sini sebenarnya...bukan product yang kita nak perkenalkan pada pasaran di India nie...PALING utama dan pertama sekali...kepada yang yang berhajat nak berniaga di sini...korang kena cari rakan kongsi yang dipercayai dan orang kenal dia bukan dari segi keyakinan die berniaga di India...tapi, isi kulit hati naluri kena kenal juga. Bila kita berniaga di India nie...kita kena buat produk tu seakan-akan produk India...bukan produk kita...ini benda paling asas yang perlu kita korbankan. Terutamanya kalau produk yang kita nak jual di pasaran ini tu...produk yang baru dan kurang femes dalam pasaran dunia. Lainlah kalau macam Samsung ker...Sony ker...HP ker...produk-produk diorang tu dah memang world !!!

Ada kawan aku tanya...agak-agak kalau jual kerepek leh laku tak di sini ? Aku kata...mungkin boleh...Tapi, cabaran die...rasa kerepek kita dengan diorang nie tentunya tak sama. Jadi nak bagi sama...cuba ko buat kerepek perisa masala. Bayangkan kalau ada kerepek rasa masala. Masala nie bukan cam rasa kari tau...Lain...dengan kata lain...kata kunci yang selalu aku berikan pada kengkawan Malaysia yang nak business di sini...kita kena tahu dahulu apa yang mereka mahukan...bukannya perkenalkan apa yang kita ada.

Perkara lain yang korang kena tau....RASUAH !!! KORUPSI !!! CORUPTION !!! Terlalulah berleluasanya di sini. Tak kira peringkat tak kira batasan mana sekali pun kalau ada pihak tersebut diberikan kuasa barang sekelumit sekali pun akan mereka cari peluang untuk meminta sogokkan. Sebab itu, pentingnya partner dari kalangan local. BUKAN untuk senangkan kita bagi rasuah pada golongan ini. Dengan adanya local partner...sekurang-kurangnya kalau partner kita itu arif tentang selok belok berniaga di sini akan mengurangkan risiko rasuah berlaku dalam perjalanan perniagaan kita. Kalau korang kata...alah...kat mana-mana pun kalau nak buat business nie memanglah ada rasuah...kalau tak, tak jalanlah business kite...BAGUS !!! SYABAS kalau dah bersedia dengan menteliti macam tu. Tapi, kalau si bakal peniaga dah rasa dirinya cekal dengan orang di sini. Silakan....jangan ingat dengan duit yang banyak korang boleh dapat pulangan balik atas apa yang disogok. Entah-entah...jumlah sogok lagi banyak dari keuntungan yang masuk kang...aku kata nie base on pengalaman kawan-kawan juga.

Biar apa pun business yang ingin dilakukan di sini...buatlah study dan pemerhatian yang sehabis baik mungkin. Fikirkan dari segenap sudut kemungkinan yang bakal berlaku. Dapatkan pandangan orang yang mahir dan sudah berjaya...jangan sesekali percaya dengan orang yang tak tentu hala atau entah datang dari mana pun korang tak taw asal usulnya. Orang India (di India sini yer...bukan India Malaysia...) kat sini...kalau korang pertama kali jumpa gaya convincing diorang memang hebat...personal conversation...perwatakan...keyakinan...boleh buatkan batu depan mata pun silap-silap korang nak beli.

Kita di sini ada wakil pejabat Matrade, MIDA dan MiTI...So, rajin-rajinlah contact diorang untuk dapatkan khidmat nasihat sebelum korang menceburi bidang business di sini yer...Insya'Allah...mereka boleh membantu

Friday, June 17, 2011

Jalan Ilmu: Old Delhi

Hari ini hujan turun lagi. Alhamdulillah...syukur...hari ini juga baju aku lencut dengan peluh...kadar humidity semakin tinggi di New Delhi. Tapi, ini lebih elok daripada suhu yang panas terik banding dengan dua bulan lalu.

Okey...cukup cerita pasal cuaca. Hari ini hari Jumaat. Esok Sabtu. Lusa Ahad. Aku suka hari Ahad bukan sebab cuti. Tapi, kalau ada kelapangan (kalau tak der aktiviti sosial atau kekeluargaan...) antara tempat yang aku suka pergi dihari minggu adalah Old Delhi. Aku tak berapa ingat nama jalannye...Tapi, kalau dari New Delhi selepas simpang yang ada hospital dan Stadium Kriket (korang memang akan lalu jalan nie..) dan sebelum sampai ker Delhi Gate...(gerbang lama sebagai pintu masuk ke New Delhi dari Old Delhi) hampir keseluruhan jalan di situ akan dipenuhi dengan buku-buku lama (baru pun ada...) akan dijual untuk mereka yang berminat.


Walaupun suasana disekeliling agak sibuk dengan manusia dan kenderaan yang lalu lalang, tapi kerana koleksi dan seleksi buku yang banyak dengan harga yang murah membuatkan kalangan ulat buku tak menghiraukan situasi sekeliling. Serius murah...


Buku apa yang korang nak cari...? Jalan ini pastinya takkan mengecewakan korang. Tanya jer kat tukang jual tu. Insya'Allah ada ler kat sini. Kebanyakkan buku yang ada disini pun bukanlah lama sangat. Elok-elok semuanya. Cuma kalau nak ke mari, ianya bukan untuk window-window buku apa yang agak-agak korang nak beli. Elok fikirkan dulu buku apa...or at least skop buku macam mana yang korang nak miliki.

Kebanyakkan buku yang tak aku perolehi di Malaysia ada di sini. Memandangkan India nie mengamalkan tahap sistem demokrasi tanpa sempadan dalam penyebaran ilmu. Maka, banyak buku-buku yang terlalulah liberalnya (atau sensitif) boleh korang jumpa. Kalau agak-agak buku tu akan di ban di Malaysia...sini tak der nyer...semua orang boleh publish apa jua bentuk pemikiran dalam produk bertulis.


Cuma ada masalah sikit...bersedialah korang untuk berhadapan dengan golongan yang kureng sikit pemahaman mereka untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Nah...itik bercakap dengan ayam selalu aku jumpa di sini. Ramai pelancong luar juga akan ada di sekitar kawasan ini. Kebanyakkannya back packer yang tahu di sini merupa lubuk ilmu termurah di dunia.

Tapi, selalunya si penjual akan cuba sedaya mungkin melayan, mencari dan cadangakan tajuk buku yang bersesuaian dengan skop bacaan yang ingin kita peroleh.

Amaran...tiada buku porno kalau nak cari di sini...!!! Tapi, kalau nak belajar tentang "kamasutra" berlambak...Ops !!! jangan terus fikir negetif kawan...Kamasutra sebenarnya adalah suatu ilmu seksologi kuno India. Aku pun banyak gak berikan buku-buku kamasutra nie pada kawan-kawan di Malaysia sebagai cenderamata. Cumanya...aku hanya akan hadiahkan (belikan pun ada...) pada mereka yang akan berkahwin atau sudah berkahwin atau sedang berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.

Hermmm...aku rasa nanti aku cuba tulis plak pasal kamasutra...mesti ramai nak tau kan...kalau ada yang berminat nak memiliki buku mini kamasutra..boleh hubungi aku...

Thursday, June 16, 2011

Cuaca Baik Minggu Ini

Alhamdulillah...dua tiga hari nie...cuaca agak baik. Dalam kepanasan yang kami alami di sini. Hujan turun dengan lebat sudah dua hari lepas. Walaupun hujan turun...cuaca panas menyebabkan keadaan humidity di sini menjadi cukup tinggi. Ala-ala macam di Kuala Lumpur. Bagi aku yang dah biasa dengan keadaan humidity tinggi sememangnya tak jadi masalh. Tapi, orang sini mengeluh lah sebab baju mereka akan senang cepat basah akibat peluh yang keluar mencurah-curah.

Di Mumbai katanya hampir setiap hari hujan. Sama juga di kawasan bahagian West Bengal juga sedang hujan. Macam pernah aku beritahu dahulu. Cuaca di Delhi nie banyak dipengaruhi keadaan yang berlaku di kawasan kelilingnya. Kalau sejuk di utara...maka sejuklah Delhi. Kalau panas di bahagian tengah India maka kepanasanlah kami di sini.

New Delhi kalau menerima hujan boleh membuatkan aku cukup teruja. Tanpa debu-debu kita dapat lihat warna sebenar bandar Delhi nie...Kebanyakkannya adalah menghijau. Sejuk mata memandang. Burung akan berlegar-legar disekeliling kita. Cuma yang menyakitkan mata sikit...banyak jugalah manusia yang akan melangok melepak membaringkan diri mereka di bawah pokon untuk melelapkan mata.

Kalau ikut ramalan cuaca...hujan akan lebih kerap turun dalam tempoh dua minggu akan datang. Biasalah, bila musim monsoon tiba...hujan akan mencurah-curahkan rahmatNya di bumi ini.

Nasihat aku bagi yang nak datang ke New Delhi...bersiap sedialah korang dengan musim nyamuk dan lalat yang akan bertambah banyak pada musim sebegini. Memandangkan sistem aliran air yang agak kurang baik di sini makanya banyaklah tempat bertakung air. Air lagilah ena banyak minum, sebab takkan jadi kes dehidrated yang teruk plak nanti.

Monday, June 13, 2011

Selamat ker nak Datang Delhi nih ?

Herrrmmm...soklan yang aku sendiri pun tak leh nak jawab dengan nada penuh keyakinan kalau di tanya. Soalan tu terlalu general sangat...Delhi nie besar. Ada yang ingat kalau nak gi tengok Taj Mahal pun dikatanya Delhi.

So, aku leh kata...ke mana-mana pun kita pergi, berhati-hatilah. Jaga diri. Tak semestinya Delhi nie tak selamat. Kekadang jejalan kat Key Ell pun ada banyak penyamun. Cuma aku selalu pesan, kalau pergi jejalan tu...eloklah bergerombolan. Kalau kena cop rombongan Che Kiah pun apa salah nyer...

Elok juga sebelum datang sini tu...jengok-jengoklah online news local di India nie...Bukan apa, memanglah kekadang tu news die bukanlah betul seratus peratus. But, untuk langkah keselamatan bolehlah dijadikan asas untuk korang. Siapa tau kan...malang tak boleh dijangka nak kena kat mana.

Pengalaman aku sejak bermastautin di sini, ada jugalah insiden yang boleh buat jantung aku nak gugur kecut gigil kaki kalau nak dikongsikan.

Insiden 01

Ludhiana (Punjab) 2008: aku baru jer sampai ke satu Pejabat kawan aku di sini. Tak sampai 10 minit, datang seorang lelaki dengan parang di tangan menjerit-jerit suruh tutup office. Aku cuma diam kan diri...tak berkata apa-coz, ini memang insiden pertama seumur hidup aku.

Rupa-rupanya ada rusuhan protes (aku lupalah plak pasal apa tah) kat pekan Ludhiana. Hampir semua Pejabat swasta dipaksa tutup. Pengangkutan awam takder satu pun ada atas jalan. Keesokkan harinya, jalan jadi selengang-lengangnya. Takder satupun kenderaan berodar 4 di benarkan ada atas jalan oleh golongan yang protes. Sebelum sampai ke Ludhiana nie...langsung tak der berita apa pun pasal rusuhan akan berlaku di sini.

Insiden 02

Kolkata (West Bengal) 2009: Selesai tugasan aku di bandar Kolkata, dalam perjalanan balik ke hotel...Tiba-tiba, kereta yang aku naik terperangkap dengan satu kumpulan yang sedang buat mogok. Punyalah ramai manusia yang ikut mogok nie. Ada yang bawak sepanduk. Bawak bendera. Walaupun diorang buat mogok aman...Tapi, driver yang bawak aku tu tak berani buat apa...die matikan enjin...suruh kitorg duduk dalam kete diam. Paling best...mogok nie dapat kerjasama pihak Polis tu...Polis cuma tengok dan bagi laluan pada perarakan mogok nie.

Lebih kurang 45 minit bila perarakan mogok dah surut kitorang manuju ke destinasi. Nasib baik mogok aman...tak der insiden menakutkan berlaku.

Insiden 03

Agra, 2010: Insiden nie adalah yang paling buat aku kecut perut sebenarnya. Mana tidak nye...aku sekeluarga (isteri dan dua orang anak kecil aku pun ada sekali masa nie), ibu dan ayah aku pun ada sekali masa nie. Kami baru balik dari tengok Taj Mahal...dan nak balik semula ke Delhi. Dalam perjalanan balik ke Delhi.....Tiba-tiba jer ada satu kereta berhenti depan kami...tengah-tengah jalan die berhentikan kereta die...pemandu keluar...aku dah cuak dah...tapi dia keluar kereta kemudian terus ke tepi jalan ada ramai orang kampong tengah berkumpul. Driver kami bunyikan horn. Datang 2 3 orang pemuda marah-marah kat driver yang bawa kami. Diorang paksa driver kami matikan enjin. Mula-mula aku suruh driver tu cakap elok-elok bagi kami lalu.

Bila driver baru nak bukak mulut jer...Lagi ramai datang memekik-mekik. Aku dah tak senang duduk. Keadaan jalan dah mula sesak...kiri kanan dah mula ada kereta. Polis datang aku lega. Driver aku start enjin....nah...!!! Datang sekumpulan manusia samseng nie diorang tolak-tolak, keliling van kami penuh orang kampong...diorang goncang-goncangkan van yang kitorang tengah duduk nie....Sambil menjerit-jerit...Maki-maki driver...aku makin cuak. Anak-anak aku dah mula nangis takut. Bini aku dah mula panik. Bapak aku dah start doa. Mak aku muka pucat. Aku cuma doa jer yang dapat aku buat masa tu. Sambil peluk anak-anak aku yang tengah nangis.

Bila enjin van dimatikan...baru diorang berenti goncangkan van kitorang. Dekat 4 jam kami sangkut tengah jalan tanpa tahu apa sebenarnya yang berlaku. Tengah-tengah jalan dah ramai orang. Siap duduk makan kacang lagi diorang. Aku punya menyumpah...Masuk 4 jam 30 minit gtu lebih kurang...Datang Polis FRU India. Tentera pun ada sekali...adegan bergaduh mulut...maki-maki...tolak-tolak antara Polis dengan orang kampung...sampai senapang kena acu...puak yang mengacau beralah...perlahan-lahan Polis tunjukkan jalan keluar pada kami. Itu pun aku rasa sebab ada kereta diplomat eropah kat tepi kami. Kalau tidak...belum tentu lagi kami dapat lepas.

Apa puncanya mereka buat tu....Sebab: kampung diorang takder eletrik !!! kalau korang tau punca cam nie korang mengamuk tak ?!!!

Ada lagi insiden-insiden lain kalau aku nak cerita...Tapi, biarlah jadi kenangan aku di India nie...Cukup memberikan aku satu pengalaman yang bermakna...

Psssttt...aku juga pernag kena tahan tengah hutan dengan orang asli...korang tahu apa die mintak ? die paw aku Rs. 10.00 !!!

Semata-mata 70 sen dia tahan kete aku...hik3!!! kelakar kan ?

Friday, June 10, 2011

Amalan Yoga

Umum tahu yang amalan senama yoga memang berasal dari bumi India. Di Malaysia pun banyak kelas-kelas senaman ini wujud sebagai perubatan alternatif bagi mereka yang berminat.

Sepanjang aku di sini. Aku tak pernah lah pulak ikut kelas yoga. Samada sebelum fatwa diharamkan oleh Majlis Ulamak Malaysia keluar atau selepas aku memang tak pernah ikut pun. Kenapa ? Entah...tak minat kot...aku nie jenis kalau nak bersenam lebih suka hayun raket badminton or turun padang berlari. Paling tidak pun layan anak-anak aku berjogging sesama.

Sebenarnya kalau diteliti, amalan senaman yoga nie tak berapa jauh persamaannya dengan beberapa senaman dan gerakan yang ramai antara bangsa Melayu amalkan hari ini. Aku ambil contoh: kalau yang pernah baca buku panduan amalan kesihatan seks Melayu tajuk, "Permata Yang Hilang". Gerakan seperti harimau berantai, senama kucing, harimau mengaumlah, meniaraplah, dan beberapa gerakan senaman yang ada dalam buku itu...aku dapati hampir kesemuanya ada dalam amalan yang dipraktiskan dalam disiplin yoga.

Soalan aku ? Apakah amalan senaman batin yang menjadi ikutan orang-orang tua kita suatu masa dahulu patut diteliti dahulu sebelum mengatakan yoga itu haram ?

Maaf...bukan niat aku untuk menidakkan fatwa ulamak. Aku juga tidak sama sekali berniat untuk membelakangkan pandangan ulama. Cuma, apa yang cuba aku sampaikan di sini adalah...Kebanyakkan amalam kita (khususnya Melayu) banyak dipengaruhi oleh pembawakkan masyarakat India (kuno). Ini fakta yang kena kita terima.

Disiplin yoga sebenarnya ada beberapa peringkat. Kebanyakkan kitab-kitab yoga yang ada pada hari ini akan katakan bahawa dalam disiplin yoga ada enam peringkat yang perlu dilalui kalau pengikutnya ingin menguasai yoga. Nak terangkan panjang sangat...So, kalau ada yang berminat boleh google jer kat internet. Peringkat awal sehingga sebelum memasuki peringkat akhir...sememangnya memerlukan seseorang itu melakukan beberapa disiplin gerakan berbentuk senaman sambil mengawal pernafasan.

Kenapa perlunya gerakan senaman di satukan dalam gerakan senaman ? Aku tak tahu nak terangkan secara detail. Tetapi, apa yang nampak...kalau kita bersenam sambil mengawal pernafasan mengikut kaedah yoga. Ini merupakan satu disiplin dimana kita cuba mengawal dan melatih otak kiri dan kanan kita berfungsi (secara fokus) mengikut kemahuan dan kehendak kita. Bermakna juga, kita akan membuka dan cuba memastikan minda tidak sedar kita juga dapat dikawal oleh kemahuan kita. Macam amalan dalam persilatan...bila kita sudah mahir dengan gerak geri dan jurus-jurus disiplin persilatan...di akhir sessi persilatan kan selalu kita tengok zaman dulu ramai pahlawan Melayu kita boleh berjalan atas api, kena tumbuk tak sakit, boleh mandi minyak tak rasa sakit dan macam-macam lagi. Semua ini berlaku bila kita mampu mengawal deria dan fungsi yang dikawal oleh otak (minda).

Bagi pengikut amalan yoga, peringkat terakhir dalam amalan yoga adalah sessi pembersihan dosa dengan mandi di sungai. Inilah yang menjadikan fatwa haram dalam amalan yoga. Juga, sebenarnya...sebelum sampai ke peringkat mandi nie...pengamal yoga biasanya kena menguasai amalan meditasi yang disertakan dengan bacaan matra (mentera). Bacaan matra nie merupakan bacaan yang bergetar sambil cuba memfokuskan minda kita pada beberapa bahagian anggota badan. nah sekali lagi pengamal akan cuba mengawal mindanya bagi memastikan fokus dan fungsi otak adalah berdasarkan kemahuannya. Kalimat-kalimat yang ada dalam matra juga terdapat beberap nama tuhan dan dewa dewi hindu. Atas sebab itu jugalah kita kena berhati-hati kalau cuba mengamalkan sesuatu perkara yang di rasakan elok tetapi sudah bercampur aduk dengan syirik.

Artikel ini bukanlah boleh dijadikan sumber ilmiah...Tetapi, hanyalah pandangan aku berdasarkan pemerhatian aku terhadap amalan yoga di sini.

Tuesday, June 7, 2011

Golf di New Delhi

Ada pertanyaan dari email yang aku terima.

"You main golf tak ?"

Mainlah jugak sikit-sikit. Tak derlah sampai tahap kategori golferholic. Just kalau ada masa terluang tu aku mainlah jugak dengan kawan-kawan or some trade frind yang ada di New Delhi nie. Diam tak diam...aku rasa hampir semua golf course di sekeliling Delhi nie aku dah main kot.

So, blogging kali nie...kita kasi up sikit. Golfing at New Delhi.

List kat bawah nie antara lapangan sasar yang pernah aku jadikan padang nyabit aku dengan kawan-kawan disepanjang aku berada di New Delhi nie...

1. Qutab Golf Course, Lado Sarai

Ini merupakan public golf course yang paling femes kat Delhi nie. Kenapa ? Sebab caj nak main di sini antara paling murah dalam Delhi. Untuk local golfer Rs. 150.00 tapi untuk foreigner Rs. 1,500.00. Kejam kan diorang nie. Cekik darah kalau orang luar main. But, sini sebenarnya course yang freindly. Tak berapa mencabar pada beginner. Cuma yang aku kurang minat sikit...diorang kekadang tak jaga green...bila bola on tapi banyak plak port-port bekas kena korek cacing. Especialy kalau main pagi.

2. Delhi Golf Club

Club nie cuma accept kalau ada member jer...Non member jangan haraplah korang nak main. Memang strict giler rule diorang. Murah jer fee diorang. Rs. 1,500.00. Yang best kalau dapat main kat sini. View n scenary die. Ada rejeki, korang akan experience nampak peacock...rusa...binatang-binatang lain yang jinak-jinak semuanya. kalau minat burung tu...sini memang port nak layang kicauan burung.

Club golf nie anatara club golf paling lama yang ada di India nie. Sejak dari zaman British lagi die dah wujud. Yang tak best nye plak kalau main di sini. Kebanyakkan member yang ada di sini semuanya dah old timer n season people. So, kekadang tu...nunggu pukulan lambat dari diorang siap boleh kita posing-posing amik gambar 2 3 round lah dgn kawan-kawan lain atas padang golf.

3. Classic Golf Country Resort, Gurgoan

Course feveret aku. BUT !!! jalan nak masuk ke sini...mak aih...tuhan saja yang tahu. Seksa dengan bumping road terlalulah teruknya. Jalan nak masuk estet kat Malaysia pun elok lagi.
Tapi, course ni menjanjikan pemandangan yang catik. Tenang dan nyaman bila main musim winter. Ala-ala macam main kat St Andrew pun ada. Cuma jaga-jaga bila main. Coz banyak budak-budak nakal yang suka curi bola kita. Itu memang bleh menaikkan darah mendidih kekadang bila main di sini.

Makan die pun sedap di sini.

4. Golden Green, Gurgoan

Course ni adalah golf course yang paaaaling aman dan tenteram kalau korang nak main. Tak der bunyi horn...bunyi bising kereta or any vehicles. Serius. Suasana menghijau yang aman mententeramkan jiwa.

5. Karma Lake Golf Resort, Gurgoan

Easy course untuk beginner. di sini kalau nak praktis swing, direction dan distyance amat sesuai. Die cuma ada 9 lobang jer.

6. Tarudan Green Valley, Gurgoan

Course faverat aku jugak. Green palkin cun pernah aku main di Delhi adalah di sini.
7. JayPee Green, Noida

Yeah...kalau nak kan kemewahan bermain golf and nak show off skill swing...ini tempat nyer...Course yang di maintain dengan baik. Korang akan berpuas hati bermain dengan cabaran golf dan menikmati pemandangan lapangan yang menhijau.

Cumanye...kena berhati-hati sikit. Kalau direction tak betul...bunker and air boleh dikatakan hampir ada disemua lubang.

6. Noida Golf Club

Aku tak berapa minat course ni...coz, dekat dengan jalan raya. So, bunyi horn boleh menggangu konsentrasi bila nak swing. Paling sakit jiwa kalau bab nak putting or tee off...Boleh terkejut kadang-kadang dengan bunyi horn. Aku tak suggest kalau nak main di sini bila musim summer. Dusty teruk sangat bila angin tiup.

Penantlah taip...kalau nak taw lebih detail...leh try email aku lah...