Aku tidak pernah sampai di Ayodhya. Tetapi, aku punya kenalan yang ramai di Lucknow dan ada antara mereka yang berasal dari bumi kemusnahan Masjid Babri itu. Semua yang aku kenal menyatakan bahawa, apa yang berlaku di Ayodhya sebenarnya hanyalah permainan politik dan drama mereka yang cuba meraih sokongan untuk kepentingan nafsu semata-mata. Sebelum tahun 1992, tahun kemusnahan Masjid Babri di Ayodhya- jumlah kuil-kuil yang berada di Ayodhya sebenarnya dikatakan mencecah lebih 20,00.
Berapa jumlah masjid ?
Masjid di sekitar Ayodhya pada waktu itu hanya ada lima buah sahaja...aku ulang LIMA BUAH SAHAJA !!! Sekarang ? Cuma tinggal tiga sahaja. TETAPI, apakah itu menunjukkan ummat Islam di Ayodhya lemah ? Apakah jumlah ummat Islam di Ayodhya sedikit ?
Tidak sama sekali. Sebenarnya inilah kekuatan ummat Islam di bumi Ayodhya. Walaupun rumah ALLAH itu hanya ada lima. Tetapi, dikatakan jumlah yang mengi'marahkan masjid sentiasa menjadi perhatian penganut agama lain. Setiap kali bila tiba lima waktu solat dan hari Jumaat. Kawasan-kawasan sekitar masjid-masjid di Ayodhya menjadi tumpuan untuk seluruh penduduk di situ samada untuk melakukan solat, berniaga, mahupun ada yang datang untuk meminta sedekah.
Peristiwa keruntuhan Masjid Babri bukan alasan bagi ummat Islam di Ayodhya untuk mengeluh dan meratapi peristiwa silam. Tetapi, mereka bangkit dengan memastikan ummat Islam di Ayodhya memiliki kekuatan sendiri. Mereka menguasai perniagaan (terdapat juga peralatan upacara keagamaan Hindu di Ayodhya juga dikatakan diusahakan oleh kaum Muslim di situ, seperti bunga, minyak, kain, pakaian dan sebagainya) dan memastikan anak-anak muslim mendapat pendidikan yang sempurna samada ilmu keduniaan dan mahupun keIslaman.
Pengamatan aku terhadap peristiwa keruntuhan Masjid Babri pada 6 Disember, 1992 ini menemukan aku satu kesimpulan yang mendapat sokongan dari beberapa kalangan wartawan yang aku kenali di sini. Malahan mereka kata, apa yang akan aku kongsikan dengan para pembaca semua di sini sememangnya ada kebenarannya.
Kenapa mesti Masjid Babri di musnahkan ?
Kenapa mesti Masjid Babri dimusnahkan sedangkan jumlah rumah ibadah untuk ummat Islam hanya ada LIMA buah sahaja pada waktu itu berbanding puluhan ribu kuil-kuil disekitar Ayodhya.
Untuk memulakan kesimpulan yang aku maksudkan dalam peristiwa kejatuhan Masjid Babri ini, kita perlu melihat isu yang berlaku di luar India pada tahun sebelum binasanya Masjid Babri.
Sememangnya ramai dikalangan kita, malahan warga India sendiri kurang mengetahui bahawa pada 14 Ogos, 1947 di Lahore, Mahkamah Tinggi Lahore telah membuat satu keputusan yang sememangnya mengejutkan ummat Islam di seluruh pakistan apabila menyerahkan tanah tapak Masjid Shahiganj kepada masyarakat Sikh. Semenjak tarikh itu, tapak asal Masjid Shahiganj menjadi HAK mutlak kepada kaum Sikh secara sah disisi undang-undang British Pakistan.
Apa cerita disebalik tapak asal bangunan Masjid Shahiganj di Lahore ini ?
Aku tidak mahu cerita panjang tentang asal pembinaan Masjid Shahiganj di Lahore ini- Tetapi secara ringkasnya Masjid Shahiganj sebenanrya telah dibina dan berdiri teguh beratus tahun sebelum tahun 1935 apabila puak pelampau Sikh dengan sokongan penjajah British memusnahkan masjid ini dan mendirikan kuil gudwara bagi masyarakat Sikh menjalankan upacara agama mereka.
Lanjutan daripada peristiwa keruntuhan masjid ini, pemimpin Islam di Lahore telah memfailkan kepada Mahkamah Rendah Lahore untuk menuntut HAK mereka, dan keputusan Mahkamah Rendah pada waktu itu menyebelahi kepada masyarakat Sikh. Dari tahun 1935 sehinggalah 1947 kekecohan masih berlaku. Tetapi, bezanya dengan kes Masjid Babri-pemimpin Islam dan Sikh pada waktu itu masih mampu mengawal perasaan pengikut masing-masing.
Masih tidak putus asa dengan keputusan Mahkamah Rendah Lahore, pemimpin Islam di Lahore mengemukakan fail tuntutan semula kes ini kepada Mahkamah Tinggi Lahore.
Namun, dibawah keputusan Governor Emerson (wakil British di Lahore pada waktu itu) telah memutuskan bahawa tapak kuil gudwara itu kekal dan permohonan masyarakat Islam untuk menuntut kembali HAK tapak Masjid Shahiganj ditolak mentah-mentah. (Nota: sebab itu aku katakan keruntuhan Masjid Shahiganj mendapat sokongan penjajah British)
Sehinggalah Pakistan merdeka dari penjajahan British, keputusan Mahkamah Tinggi Lahore masih kekal sehingga sekarang.
Apa yang membezakan kedua-dua kejadian keruntuhan masjid-masjid ini ?
Di Pakistan, puak pelampau Sikh menggunakan pengaruh hubungan baik politik mereka (dan kesetiaan mereka untuk berkhidmat pada Ratu England sebagai askar British) untuk mendapatkan kepentingan mereka selepas menyedari bahawa pemisahan daerah Punjab (kepada Pakistan dan India) bakal membuatkan mereka menjadi bangsa minoriti di negara Pakistan.
Di India, pemimpin politik memainkan sentimen keagamaan (pada aku ini hanya retorik yang direka-reka) bagi meraih sokongan dan menyemarakkan api kebangkitan memperjuangkan agama (konon-kononnya) untuk kepentingan parti politik yang diwakili oleh mereka.
Pemimpin politik di India sedar bahawa apa telah dapat dipelajari (dari peristiwa keruntuhan Masjid Shahiganj di Lahore) bahawa, apabila dengan cara keganasan juga kemenangan mampu dicipta- Memusnahkan binaan rumah ibadah agama lain bukan tindakan diskriminasi pada mereka. Asalkan kepentingan majoriti dapat dipertahankan. Walaupun, asas prisipnya hanyalah bersandarkan pada khayalan yang mungkin direka-reka (aku merujuk pada dakwaan ada penampakkan imej Dewa Ram di Masjid Babri). Bukti kajian dan catatan sejarah bukan asas yang mesti dipertahankan. Kerana, keputusan akhir yang ingin dicapai adalah- KEPUASAN NAFSU perlu diselesaikan.
Kedua-dua peristiwa ini ada persamaannya, tetapi kesudahan pada akhir cerita tidak dipastikan lagi. Samada, sejarah Masjid Babri juga akan mengikuti apa yang terjadi pada Masjid Shahiganj. ESOK adalah penentu segalanya.
Pengajaran dan pelajaran yang perlu kita ambil dari peristiwa Masjid Babri di Ayodhya ini akan aku simpan untuk keesokkan hari nanti selepas keputusan Mahkamah Tinggi Allahabad diputuskan.
Marilah kita berdoa, agar Allah memberika ketetapanNya yang terbaik buat hamba-hambaNya di bumi Ayodhya dan seluruh India. Amin...