Tuesday, May 5, 2009

Bahasa Jiwa Bangsa

Petikan dari Utusan online hari ini
Sasterawan negara sepakat tolak PPSMI

KUALA LUMPUR 5 Mei - Lima Sasterawan Negara buat pertama kalinya menyatakan pendirian bersama menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Malah dua daripada mereka yang hadir pada sidang akhbar hari ini iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Muhammad Salleh sedia ditarik balik gelaran berkenaan jika keadaan memerlukan. Muhammad mengakui apa yang lebih penting adalah bahasa Melayu perlu kembali dimartabatkan sebagai bahasa ilmu di sekolah dan universiti demi masa depan bahasa itu sendiri.

"Kita tidak menentang penguasaan bahasa Inggeris kepada anak-anak kita tetapi kaedah pembelajaran yang perlu diperbaiki supaya lebih berkesan.

"Kerajaan perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari negara Denmark, Sweden, Norway, Belanda dan Belgium yang pengajarannya lebih baik walaupun pelajaran bahasa Inggeris hanya mula diperkenalkan di sekolah menengah,'' katanya.

untuk bacaan selanjutnya:
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Aku sebenarnya agak pelik. Kenapa mesti perkara bahasa dalam pengajian Matematik dan Sains nie jadi isu besar di Malaysia. Sepatutnya kita perlu menyokong hasrat dan implementasi bahasa Inggeris dalam dua subjek ini.
Bukan niat aku untuk menidakkan kepentingan bahasa Melayu dalam menyerapkan elemen jati diri sebagai bangsa Melayu. Tetapi, kalau difikirkan kembali...apakah dengan pengajian dan pembelajaran HANYA dua buah subjek akan menjejaskan jati diri bangsa seseorang Melayu tersebut.
Cuba kita renung dan fikir secara mendalam. Dalam kurikulum sekolah di Malaysia pada hari ini. Loceng sekolah akan bermula seawal jam 7.30 pagi untuk sessi pagi. Para pelajar akan balik mungkin dalam pukul 2.00 petang...Sessi persekolahan di Malaysia pada kebiasaannya akan memerlukan seseorang pelajar sekolah mengikuti pembelajaran 6 jam...okey 5 jam dengan sejam rehat. Seminggu ada 30 jam. Mata pelajaran Matematik dan Sains dicampur dengan Bahasa Inggeris mungkin akan mewakili separuh dari tempoh pembelajaran formal mereka di sekolah.
Dari sini, aku tak nampak lojiknya jati diri Melayu boleh terjejas sekiranya kita mengamalkan pembelajaran dalam bahasa Inggeris walaupun separuh daripada tempoh pembelajaran dalam seminggu di gunakan dalam bahasa perantara Inggeris.
Aku tak kata aku fasih berbahasa Inggeris. Tetapi, aku berkata melalui pengalaman aku sebagai seorang pelajar, mahasiswa, dan sekarang bekerja di perantauan. Masa zaman persekolahan, cikgu aku sering menggalakkan kami berkomunikasi dalam bahaasa Inggeris dan bahasa Arab. Sewaktu di alam universiti, ini tempoh waktu yang paling mencabar bagi aku. Pensyarah mengajar dalam bahasa Melayu. Tetapi, rujukan dan sumber pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Bila masuk ke dunia pekerjaan aku mula melatih diri bercakap dalam bahasa Inggeris. Kerana aku tiada pilihan sekiranya ingin maju dalam kerjaya.
Sekarang, aku masih anak Melayu. Dan aku tetap berbangga bergelar bangsa melayu yang sedang bekerja di perantauan orang. Masih boleh membaca dan menulis jawi. Berapa ramai anak melayu yang mampu menulis dan membaca jawi pada hari ini.
Pada aku, kerajaan Malaysia perlu tegas sekiranya ingin memastikan negara mampu melahirkan cendikiawan yang berkualiti. Pengajian atau pembelajaran dalam bahasa Inggeris hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Banyak lagi isu-isu yang lebih penting untuk di benteras selain bahasa yang dikatakan tunggak jati diri bangsa.
Jangan jadikan negara-negara lain sebagai asas dalam hal ini. Jepun katanya tanpa bahasa Inggeris boleh maju dalam sains teknologi. Tetapi, dengan kebanggaan kepenggunaan bahasa nippon ini juga bangsa mereka terus hancur dengan nilai-nilai kesopanan.
Paling penting sebenarnya, kita perlu berjuang agar profesionalisme perguruan itu sendiri ditingkatkan. Aku percaya ramai cikgu dan guru yang ada kat Malaysia sebenarnya agak cuak untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Kalau aku silap buktikan dan sambut cabaran ini demi memastikan anak-anak Melayu maju dalam pendidikan !!! Sepatutnya golongan dalam profesionalisme ini perlu menyahut cabaran sekiranya mereka menganggap kerjaya pendidikan adalah satu tanggungjawab. Mereka juga perlu sedar, kesinambungan warisan bangsa Melayu terletak ditangan mereka untuk masa depan.

No comments:

Post a Comment